Che E atau nama sebenarnya M. K. Fuad bin Hj. Che Ab. Razak merupakan perunding motivasi di Asas Insan Resources & Training, syarikat perunding latihan, motivasi dan kaunseling yang diasaskannya pada 2004.
Che E telah mengendalikan pelbagai segmen program latihan dan motivasi untuk ratusan organisasi termasuk jabatan kerajaan, kementerian, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi dan sekolah. Tidak terkecuali badan bukan kerajaan, masjid, pusat serenti dan badan politik. Beliau telah membimbing lebih 30,000 orang peserta sejak 2004 di seluruh negara termasuk negara jiran Brunei Darussalam.
Pengalaman berinteraksi dengan ribuan peserta sebagai perunding motivasi, mengurus pelbagai kes kaunseling, mengurus hal-ehwal masyarakat sebagai aktivis komuniti dan mengendali kes-kes mahkamah seperti rasuah, dadah, rogol, bunuh, muflis, perceraian dan macam-macam lagi, memberi Che E kelebihan untuk memerhati, mempelajari dan memahami tabiat, sikap serta persepsi manusia dalam menghadapi pelbagai situasi hidup.
Anak kelahiran Sandakan Sabah ini merupakan graduan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bekas seorang peguam dan telah berumahtanggalebih 25 tahun. Kerap bercanda dengan isteri dan anak-anak, luang masa bersama kedua orang tua, berkebun, bantu mengemas surau dan mengajar mengaji, itu antara cara beliau mengekalkan kesihatan tubuh dan mental. Beliau juga menulis.
Che E merupakan pengamal bertauliah Pengujian Psikologi Sidek (SPT). Beliau kini menumpu usaha membantu masyarakat melalui program-program motivasi pembangunan diri di pusat latihan beliau di Nilai, Negeri Sembilan.
Prinsip Che E mudah, biar hidup ini 'sempoi' asal matlamatnyasampai. Bapa kepada 4 orang anak ini sering ingatkan setiap kita sudah ditentukan takdirnya. Tapi hidup ini tidak cukup sekadar berserah, mesti direncana sebaiknya agar bab akhir buku cerita hidup kita adalah 'Sebaik-baik Pengakhiran' (husnul khatimah).